Lagi Kisah Adik Nadirah @ Dirang

9:50 AM ida ahmad 0 Comments

PASIR GUDANG: Suasana sayu menyelubungi rumah Nurul Nadirah Abdullah apabila ibunya, Roselyn Alan, meraung sebaik mengetahui kematian anak kesayangannya, daripada polis kira-kira jam 6.45 petang selepas keputusan ujian DNA diperoleh. 

Roselyn, 25, menangis tanpa henti dengan sesekali memanggil nama Dirang menyebabkan anggota keluarga dan jiran mangsa turut menitiskan air mata.


Ibu saudara mangsa, Merlinda Budin, 22, tidak menyangka mimpi melihat mangsa menangis dengan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat dalam sebuah pondok yang sedang terbakar di ladang kelapa sawit, akhirnya menjadi kenyataan apabila dimaklumkan mengenai kematian Dirang.

“Dalam mimpi itu saya melihat dengan jelas Dirang menangis dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dalam sebuah pondok yang sedang terbakar. Malah dalam mimpi itu, Dirang berulang kali memanggil saya supaya dikeluarkan daripada api. 

“Saya cuba menyelamatkannya sebelum terjaga. Saya memaklumkan mimpi kepada Roselyn dan kami berusaha mencarinya di lokasi seperti dalam mimpi tetapi tidak menemuinya,” katanya. 

Merlinda tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku terhadap Dirang kerana pada hari kejadian dia terserempak dengan anak saudaranya itu. 

“Ketika bertembung dengan Dirang saya sempat bertanya hendak ke mana tetapi dia tidak menjawab tetapi hanya tersenyum dan berjalan ke arah kedai. Saya pula terus pulang. 
“Bagaimanapun, saya mula berasa tidak kena apabila ibu Dirang mundar-mandir di bawah flet sebelum memaklumkan Dirang tidak pulang selepas ke kedai pada waktu pagi,” katanya. 

Sementara itu nenek Dirang, Milnah Jul, 52, berkata sebelum polis datang, Roselyn terus mencari anaknya apabila penemuan rangka di kebun sawit Khamis lalu dikatakan bukan anaknya. 

“Dia senang hati apabila mayat itu dikatakan bukan Dirang, tetapi apabila menerima berita jam 6.45 petang tadi Roselyn tidak dapat menerima berita kematian Dirang. 

“Saya tidak menyangka Dirang diperlakukan sekejam itu sehingga kanak-kanak kecil itu dibunuh dan dibakar. Saya tidak tahu apa salah Dirang. Saya harap binatang yang melakukan perkara ini mendapat balasan sewajarnya,’ katanya.

Terdahulu, Roselyn ketika ditemui tengah hari, berkata dia menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang wanita yang tidak dikenali mengugut akan membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sehingga RM30,000. 

“Antara SMS yang saya terima: “Kalau kau mahu anak kau, aku mahu wang RM10,000 di Taman Tengku Anis masa jam 12 tengah hari, kalau tidak anak kau mati”, "Kalau kau tak datang pada hari Ahad anak kau akan dijual di Thailand,” katanya. 

Roselyn berkata, ugutan itu diterima pada malam Rabu lalu daripada seorang wanita yang mendakwa menyimpan anaknya itu dan meminta wang tebusan RM30,000 dihantar ke Taman Tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan. 

Katanya, selepas wanita itu mematikan telefon, beliau cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab sehinggalah beliau menghantar SMS supaya wanita itu menghantar gambar anaknya sebagai bukti dan mendengar suara Dirang. 

“Wanita itu membalas SMS dengan meminta menjelaskan wang terlebih dulu sebelum menunaikan permintaan saya. Keesokannya, saya sekali lagi menerima SMS daripada nombor sama meminta saya menyediakan wang RM10,000 di tempat yang sama pada jam 12 tengah hari atau anak saya akan mati. 

“Saya cuba menghubunginya sekali lagi tetapi tiada jawapan sehinggalah Jumaat lalu, saya mendapat satu lagi SMS meminta membawa wang tunai RM10,000 dan menghantarnya pada Ahad ke taman sama. Wanita itu juga mengugut akan menjual Dirang kepada sindiket kanak-kanak di Thailand,” katanya. 

Roselyn berkata, susulan daripada panggilan telefon dan SMS itu, beliau memaklumkannya kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes anaknya untuk tindakan lanjut.


SUMBER: BERITA HARIAN.


Menurut Metro, adik Nadirah ni pergi ke kedai bersendirian untuk membeli mee segera kerana emaknya leka dengan facebook. Fikir-fikirkanlah. Apa salahnya kita gunakan facebook atau apa sahaja untuk tujuan kebaikkan dan berpada-pada. Tak berbaloi langsung kalau jadi bergaduh, berpecah belah, ahli keluarga hilang, lapar, mati kerana kita lalai dengan facebook. 


Semoga roh dicucuri rahmat dan perkara yang terjadi dijadikan pengajaran. Harap ibu dan keluarganya redha dan tabah. Semoga anak-anak kita terpelihara dari syaitan bertopengkan manusia seperti pembunuh ini.






Ida Khairani
 www.ceriterakami.blogspot.com
www.mysupervitamins.com
www.sarawakauthentc.blogspot.com

0 comments: